"Chaos" QR di Bas Merah Jambu

Apabila sistem gagal, begitu juga perkhidmatannya

KalvinCJAug 13, 2026

Sebagai seorang pengguna pengangkutan awam di Kota Kinabalu, Sabah, perkhidmatan Bas Pink (Bas.my) sepatutnya menjadi sebuah kemudahan yang memudahkan urusan harian masyarakat setempat. Namun, pengalaman yang saya lalui baru-baru ini telah meninggalkan rasa terkilan, tertekan, dan canggung disebabkan oleh kegagalan sistem imbasan QR pada aplikasi Lugo mereka sendiri.

Masalah utama bermula apabila saya cuba menaiki bas dan membuat imbasan QR menggunakan aplikasi Lugo yang telah dikemas kini ke versi terkini. Walaupun aplikasi di telefon bimbit saya sedia digunakan, mesin pengimbas di dalam bas langsung tidak memberi sebarang respons apabila imbasan dibuat. Keadaan ini mewujudkan situasi yang amat canggung di hadapan penumpang lain dan pemandu bas. Menunggu begitu lama di hadapan pintu bas tanpa sebarang kepastian sama ada imbasan berjaya atau tidak telah menyebabkan saya berada dalam keadaan yang amat tertekan.

Keadaan menjadi lebih parah apabila pemandu bas sendiri langsung tidak menunjukkan rasa simpati atau cuba membantu menyelesaikan masalah berkenaan. Sebaliknya, saya dipertanyakan dengan soalan sinis seperti "Jadi?" apabila sistem imbasan QR aplikasi Lugo tersebut gagal memproses daftar masuk (check-in) saya.

Tindakan pemandu yang seolah-olah mengalih pertanggungjawapan dan menyalahkan saya atas kegagalan aplikasi milik mereka sendiri membuatkan keadaan jadi janggal dan memalukan saya di depan penumpang lain. Perasaan dipulaukan dan ditinggalkan secara terbuka ini bukan sahaja amat memalukan saya di khalayak umum, malah memberi tekanan emosi yang mendalam tanpa sebarang rasa prihatin daripada pihak pengendali bas.

Lebih mendukacitakan lagi, kegagalan sistem teknikal ini akhirnya memaksa saya untuk turun dan keluar dari bas tersebut. Impaknya bukan sekadar masalah imbasan QR, tetapi ia telah menjejaskan perjalanan harian saya dan menggagalkan usaha saya untuk sampai ke destinasi tepat pada waktunya. Pengalaman bulan-bulan sebelumnya berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah, namun perubahan kualiti perkhidmatan dan kegagalan aplikasi secara tiba-tiba ini amat mengecewakan.

Apabila hal ini dimaklumkan kepada pihak perkhidmatan pelanggan melalui talian sokongan, timbul satu perasaan seolah-olah beban masalah teknikal ini diletakkan di bahu pengguna. Walaupun jawapan yang diberikan cuba memberi pilihan—seperti hadir fizikal ke kaunter KK Sentral untuk menukar kaedah pendaftaran kepada kad fizikal atau IC—cadangan sedemikian dilihat tidak praktikal bagi pengguna yang memerlukan perkhidmatan bas secara serta-merta. Pendaftaran secara dalam talian yang sepatutnya memudahkan pengguna secara digital telah menjadi punca timbulnya kesulitan akibat kepincangan sistem.

Sebagai pengajarannya, penyediaan perkhidmatan berasaskan teknologi wajar diiringi dengan kualiti sistem yang stabil dan mesra pengguna. Pihak pengurusan Bas Pink dan pembangun aplikasi Lugo wajar mengambil langkah proaktif dalam membaiki bug atau gangguan teknikal ini. Pengguna yang membayar dan bergantung kepada pengangkutan awam berhak untuk dilayan dengan adil, dihormati, serta mendapat perkhidmatan yang cekap tanpa perlu berdepan dengan tekanan mental yang tidak sepatutnya.


Log in to leave a note.